Oleh : Dk. Hajah Naqayatul Akma Pg. Haji Ali, Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Mohammad Hasif Matzin, Azmah Haji Ahmad
BANGKOK, Selasa, 9 Disember. - Pasukan Polo Negara Brunei Darussalam (NBD) menang 9 - 6 dengan aksi yang cemerlang dalam Semi Final pada Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) Ke-33, 2025 menentang Pasukan Polo Malaysia yang berlangsung di Padang Vs Sports Club, Bangkok, Thailand, baru-baru ini.
Berangkat mewakili Pasukan Polo NBD, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.
Juga berangkat menyertai, Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Dalam perlawanan chukka pertama menyaksikan Pasukan Polo NBD mendapat satu mata melalui Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar.
Pasukan Polo Malaysia berpeluang menyamakan kedudukan melalui penalti 60 ela, namun percubaan itu berjaya dipatahkan oleh ketangkasan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen di kawasan bertahan. Namun selepas itu, kesilapan NBD memberi Malaysia ruang melakukan serangan balas pantas yang disudahkan dengan jaringan penyamaan 1 - 1.
NBD kembali menguasai permainan melalui lemparan masuk seterusnya, di mana Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen menyempurnakan peluang untuk menghasilkan gol padang kedua, menjadikan kedudukan 2 - 1. Kemudian, Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar menyempurnakan pukulan melebarkan kedudukan kepada 3 - 1.
Manakala, pada perlawanan chukka kedua pula menyaksikan Pasukan Polo NBD memperoleh dua mata tambahan melalui Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar.
Pasukan Polo Malaysia bagaimanapun tidak berputus asa dan berjaya membalas dengan satu gol untuk membawa kedudukan kepada 5 - 3 menjelang tamat chukka kedua.
Sementara pada perlawanan chukka ketiga pula, Pasukan Polo NBD menguasai 'throw-in' dari tengah, melancarkan serangan pantas, dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen berjaya mengutip mata keenam melebarkan kedudukan kepada 6 - 3.
Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar berjaya mengutip dua mata tambahan melalui penalti dan satu mata tambahan melalui Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah menjadikan kedudukan 8 - 4.
Pada perlawanan chukka keempat pula, Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar berjaya mengutip mata bagi Pasukan Polo NBD dengan satu mata, dengan keputusan akhir Pasukan Polo NBD memperoleh 9 mata manakala Pasukan Polo Malaysia memperoleh 6 mata.
Pasukan polo negara telah menewaskan Pasukan Polo Malaysia dalam peringkat separuh akhir dengan skor 9 - 6, sekali gus mara ke perlawanan akhir.
Perlawanan akhir antara pasukan negara dan negara tuan rumah, Thailand, dijadualkan berlangsung pada 10 Disember 2025 (Rabu), pukul 6.30 malam di VS Sports Club & Siam Polo Park, Samut Prakan.
Selain itu, latihan-latihan atlet juga telah bermula bagi sukan Sepak Takraw, aekwondo dan Karate di pekarangan hotel dan tempat 'venue' latihan yang disediakan oleh pihak penganjur. Pasukan Sepak Takraw membuat latihan pertama mereka di 'venue' pertandingan memfokuskan kepada acara 'hoops' dan regu.
Semua atlet membuat latihan berada pada tahap yang baik, fokus utama adalah memperkukuhkan ketahanan supaya pemain kekal tenang dalam situasi perlawanan sebenar.
Mesyuarat pengurus pasukan juga telah dijalankan bagi mendengar taklimat perlawanan dan mengesahkan jadual perlawanan mereka. Latihan pagi dan malam juga dijalankan bagi atlet-atlet Taekwondo dan Karate di pekarangan hotel masing-masing.